30 Ramadhan - 1.00 pagi di Bilik Bersalin. Drip dipasang ketika sakit kontraksi masih boleh dikawal. Bukaan rahim 4cm. 1.20 doktor cuba pecahkan ketuban, tapi tidak berjaya kerana kedudukan bayi masih tinggi. Suami masih di sisi, tersengguk2 atas kerusi. Dia kemudian meminta kebenaran untuk ke Bilik Orkid agar dapat melelapkan mata seketika. Pukul 2.20 pagi, doktor pecahkan ketuban. Kontraksi semakin kerap dan menyakitkan. Aku terus berdoa dengan doa Nabi Yunus, Laailaahaillaa anta, subhaanaka inni kuntuminazhalimin. Doktor juga mengingatkan aku dengan doa yang sama. Pukul 3.00pg, suami sudah ada di sisi. Melihat keadaanku yang kritikal, dia naik semula ke bilik, bermunajat kepada Allah supaya segalanya dimudahkan. Jam di dinding bilik bersalin jadi tumpuanku. 3.15 pagi. Ya Allah, cepat dan mudahkan urusan ini, hamba-Mu ini terlalu lemah untuk menanggung kesakitan ini. 3.30 pagi, jururawat sibuk menyiapkan kelengkapan. Sakit...sakit...tapi doa terus lancar di bibir. 3.50 pagi, rasa untuk meneran mula menerpa, jururawat terus memanggil doktor. Lebih kurang 10 minit bergelut dengan kesakitan, alhamdulillah seorang bayi lelaki selamat berhijrah dari alam rahim ke ke alam dunia dengan sambutan salam oleh jururawat. Suami diminta memotong tali pusatnya. Selepas bayi 2.6kg dibersihkan, laungan azan dan iqamah dikumandangkan di kedua-dua telinganya. Semoga bayi ini sentiasa membesarkan Allah dan syariat-Nya dan dijauhkan dirinya dari godaan iblis syaitan serta sekutunya. Abdullah Ulwan, itulah nama pilihan, mengambil sempena nama seorang ulama, Abdullah Nasih Ulwan. Moga akhlak, ilmu dan fakih ulama tersebut meresap dalam diri bayi ini, Amin.
No comments:
Post a Comment