Monday, October 11, 2010
Tenang dan Sabar Penyuluh Hidup
29 Ramadhan - Kunjungan ke Hospital Pakar Annur adalah pemeriksaan berkala biasa. Hajat di hati untuk mendapat pandangan doktor sama ada keadaan kandungan 37 minggu sesuai untuk perjalanan jauh atau sebaliknya (nak balik beraya di kampung, Kedah sana). Tanpa diduga, selepas pemeriksaan, doktor memberitahu aku telah boleh bersalain pada hari ini kerana sudah ada bukaan rahim sebanyak 3 cm, masya-Allah. Aku meminta kebenaran untuk pulang ke rumah sekejap kerana perlu mengambil barang-barang keperluanku dan bayi. Sampai di rumah ketika azan Zohor berkumandang. Selepas solat, beras pulut terus direndam untuk membuat ketupat palas. Bahan-bahan untuk resepi gulai daging terus diadun dan sebelum Asar, menu ini siap dimasak. Selepas Asar, ketupat terus dianyam dan dikukus untuk juadah berbuka puasa. Sakit kontraksi terus menyelangi aktiviti petang itu, semakin kerap, dalam sela masa 5 -7 minit. Aku terus bertenang, di hati tidak henti berdoa supaya sempat berbuka puasa. Semua, 9 anak dan suami ada di rumah, meriah berbuka bersama, kerana detik seperti ini susah untuk dikecapi. Lazimnya suami di Johor, seorang anak di UNITEN, seorang di Politeknik JB, anak ke3 dan ke5 di asrama. Selepas berbuka, tanda untuk bersalin telah mula keluar, bermakna aku tidak dapat menunaikan solat pada malam tersebut (sayangkan solat terawih), tetapi ketentuan-Nya adalah yang terbaik. Suami ke masjid selepas aku mendesaknya berbuat demikian. Hajatnya untuk bersolat di rumah kerana bimbangkan keadaanku. Tetapi aku masih ada misi penting untuk dilaksanakan, novel KEMBALIKAN SALIHAKU perlukan sentuhan terakhir. Kekunci laptop ditekan diselangi sakit yang semakin mengganggu. Sesekali aku menggosok perut sambil berbicara dengan bayi supaya bersabar. Alhamdulillah pada jam 11.30 malam, manuskrip novel dapat dikirim ke pihak penerbit. Dan aku sampai di hospital pada pukul 12.00 tengah malam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment