I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, February 8, 2009

Madah Berhelah....

Saudara leka mencipta sengketa,

Tatkala pelan damai saudara rangka,

Saudara menconteng coreng keganasan,

Tatkala menggelar diri saudara polis dunia,


Menggunung keangkuhan saudara,

Membusung kesombongan saudara,

Tatkala menyaksi sketsa konflik antara bangsa,

Yang saudara pencacainya,

Yang Zionis sutradaranya.


Saudara sering alpa,

Saudara acap lupa,

Sayugia..

Saudara disapa teguran berhikmah yang Maha Kuasa,

Taufan Emily…

Amukan Katrina..

Beliung di Greensburg…

Tragedi di Virginia…

Antara juzuk balasan karma.


Lantaran…

Saudara bijak sorokkan tangan, sekilas batu saudara lontarkan




NILAI KEMERDEKAAN

Kuintai tanah seberang,

Bumi merdeka seperti Malaysia,

Pun begitu…

Warganya hidup melarat,

Hijrahnya ke serata tempat,

Di bumi orang menabur kudrat,

Merapi, tsunami menunggu saat,

Tuhan menguji itulah iradat,

Kenapa ya?

Dugaan hidup bu… aduh kasihan.


Kuintai ke Asia Selatan,

Bumi India, Bangladesh dan Pakistan,

Khabarnya lebih dahulu mengecap kemerdekaan,

Pun begitu…

Warganya hidup dalam kesempitan,

Makanan?

Terbayang kanak-kanak perutnya membusung,

Pengangkutan?

Terbayang penumpang kereta api bersantai di bumbung,

Keamanan?

Terkilas di mata rusuhan demi rusuhan,

Kenapa ya?

Tiada perpaduan.


Kuintai ke Asia Barat,

Bumi Palestin tak henti bergolak,

Lubnan, Syria tak henti diasak,

Hujan air mata, hujan peluru,

Tubuh kerdil menjadi perisai,

Pertahankan watan satu kewajiban,

Kenapa ya?

Nilai kemanusiaan pudar lenyap…aduh kasihan.


Kutatap tanah air sendiri,

Bumi Malaysia yang kucintai,

Merdeka serba mencukupi,

Anugerah tak terhingga kurniaan Ilahi,

Tiada merapi, tiada rusuhan,

Tiada tembakan, tiada dentuman,

Pun begitu…

Kekalkah begini?

andai muda mudi alpa dan leka,

Justeru hedonism jadi amalan,

Andai amanah dilalai dilupa,

Justeru kuasa jadi rebutan,

Andai si kaya menindas si papa,

Justeru harta jadi sasaran,

Andai kemerdekaan hilang nilainya,

Justeru perpecahan mengganti perpaduan.


Thursday, February 5, 2009

Hanya Sisa Untuk Tuhan

Assalamualaikum.
Terkesan dengan kata-kata ahli panel Alkuliyyah, seorang kiai daripada Indonesia, 'kita sering memberi yang sisa kepada Tuhan', cikgu mula meneroka dalam diri muhasabah amalan harian yang dipersembahkan kepada Allah. Adakah yang terbaik atau sebaliknya sisa daripada sesuatu yang bersifat duniawi? Apakah Solat di awal waktu, atau bersempadan dengan waktu solat yang lain atau telah tersasar ke zon waktu yang lain? Apakah sedekah yang diberi, ikhlas dari sudut hati, atau riak menonjol diri atau selepas beberapa kali menolak keperluan-keperluan duniawi yang lain, hanya sisa untuk Tuhan.
Itu baru 2 bentuk amalan yang dinilai, belum lagi deretan senarai yang lain. Cikgu rasa betapa diri sangat kejam. Sedang Allah memberi kita yang krim, yang terbaik, nikmat yang tidak ternilai yang pastinya bukan sisa untuk kita, yang berstatus hamba.. Tapi apa balasan kita kepada Raja segala Raja? 
Jom baiki sembahan amalan kita supaya bukan sisa yang kita persembahkan kepada Tuhan, tetapi darjat amalan yang selayaknya untukNYA.

Tuesday, February 3, 2009

TOM AND JERRY


Apa tu mama?
Makanan kucing, sayang
Mama suka Tom?
Tom kan jahat!
Tak percaya, tengok kat TV.
Apa tu mama?
Perangkap tikus, sayang
Mama nak bunuh Jerry?
Jerry kan baik,
tak percaya, tengok kat CD.
Buat apa tu papa?
Lastik cicak, sayang
Papa nak bunuh cicakman?
Cicakman kan hero,
tak percaya, tengok kat panggung.
Buat apa tu atuk?
Derma untuk Palestin, sayang
Atuk sokong Islam?
Islam kan pengganas?
tak percaya, tengok dalam 'game' internet
Rancangan apa tu kakak?
Dokumentari pendidikan, sayang
Kakak nak jadi cikgu?
Jadi artis lagi glamor!
tak percaya, hari-hari keluar majalah.
Media, media, media...
gah perananmu menguasai watan,
secara halus mencorak insan,
didiklah generasi berfikiran suci,
usah terbelit penangan globalisasi.

Sunday, February 1, 2009

KERANA AKU SEORANG GURU...



Guru dahulu... Salam dihulur

Guru sekarang... Anak dididik tak sudi tegur

Guru dahulu... Dihormat, disayang

Guru sekarang... Dikeji, ditentang

Guru dahulu... Baktinya disanjung

Guru sekarang... Bebannya menggunung

Guru dahulu... Jasanya dikenang

Guru sekarang... Silapnya dicanang

Guru dahulu... Hayun rotan pun disayang

Guru sekarang... Cubit sayang pun disaman

Tika anak didik cemerlang,

Kalungan penghargaan Guru Dahulu terima...

Guru sekarang baktinya dilupa

Kerna "anak-anak kami memang bijaksana"

Tika anak didik kecundang,

Guru Dahulu tidak disalahkan

Guru sekarang dikejar,disalahkan

Kerna "cikgu memang tak pandai ajar"


Aduhai insan bergelar guru,

Guru sekarang,Guru Dahulu

Sekeji mana engkau dihina

Sejijik mana pandangan mata

Dikau pendokong tugas mulia

Dikau penjana modal insan negara

Dikau menjadi pencorak kemenjadian bangsa

Sayugia peribadimu kusanjungi

Justeru...

Terimalah daripadaku.

"SELAMAT HARI GURU"

Kerana aku juga seorang guru...